Thursday 13 July 2017

PENCEMARAN NUKLEAR (RADIOAKTIF)

Salam sejahtera semua...

Kali ini, apakah topik yang bakal saya berkongsi dengan anda semua? 
Jika kita lihat pada tajuk besar coretan ini, PENCEMARAN NUKLEAR (RADIOAKTIF). Apakah yang dimaksudkan dengan tajuk ini?




Di Malaysia?

Seperti yang kita sedia maklum, tenaga nuklear merupakan salah satu bentuk tenaga yang digunakan di pelbagai negara untuk penjanaan tenaga seperti tenaga elektrik. Walau bagaimanapun, Malaysia bukan merupakan salah satu negara yang menjana tenaga utamadaripada tenaga nuklear ini. Namun begitu, negara seperti China dan Perancis ada menggunakan tenaga nuklear sebagai salah satu sumber tenaga bagi negara mereka.

Namun, terdapat desas desus yang mengatakan bahawa loji tenaga nuklear bakal dilancarkan di Malaysia pada tahun 2031 dengan kemajuan teknologi darpada negara seperti Jepun, China dan Perancis.Oleh itu, kita mesti mengambil tahu baik buruk daripada pengimplementasian ini.

Tenaga nuklear merupakan bahan yang radioaktif. Terdapat pelbagai manfaat daripada penggunaan tenaga nuklear ini, tetapi pada masa yang sama, terdapat juga natijah buruk jika kita tidak bijak merancang penggunaan tenaga nuklear ini.



Pencemaran Nuklear

Apakah punca-punca berlakunya pencemaran nuklear?

Punca utama berlakunya pencemaran nuklear ialah disebabkan pembuangan sisa nuklear yang haram. Hal ini demikian kerana, sisa nuklear masih mempunyai kuasa radioaktif, dan jika dilupuskan dengan cara yang tidak betul dan di tempat yang salah, maka akan mendatang kesan yang buruk kepada kita. Malah, bahan radioaktif ini juga mampu terdedah daripada manusia kepada manusia dengan bahan ini dikendalikan dengan cara yang salah.  Pengangkutan mesin tenaga nuklear dari sesuatu tempat ke tempat yang lain juga menjadi salah satu punca berlakunya pencemaran nuklear.



Kesan-kesan pencemaran nuklear?

Terdapat pelbagai kesan buruk daripada pencemaran tenaga nuklear ini. Bahan radioaktif ini mampu memusnahkan habitat pelbagai spesies flora dan fauna. Bukan itu sahaja, kesuburan tanah turut terjejas ekoran pencemaran radioaktif. Bagi kita pula, pelbagai penyakit kronik kulit akan merebak atau menjadi isu yang serius ekoran pendedahan sinar dan tenaga radioaktif ini.


Tuntasnya, tenaga nuklear mempunya pelbagai kebaikan dan keburukan. Tetapi, kita haruslah mengambil langkah berjaga-jaga dan mengatasi masalah pencemaran nuklear ini. Sistem pelupusan sisa nuklear haruslah dijalankan dengan sistematik dan selamat agar tidak menjejaskan sesiapa.

Sekian.


Sumber: Gambar dari Google Images bagi tujuan pembelajaran sahaja.

Monday 10 July 2017

TAHUKAH ANDA?




1. Hari Alam Sekitar Sedunia disambut setiap tahun pada 5 Jun, sejak tahun 1972 lagi.




2. Taman Negara merupakan kawasan yang dilindungi pertama di Semenanjung Malaysia, dan diisytiharkan pada tahun 1938.



3. Kampung Mawlynnong dicatatkan sebagai "Kampung Terbersih di Asia". Perkampungan ini terletak 90 kilometer dari bandar Shillong, Meghalaya, India.

Kampung Mawlynnong



4. Brazzaville, Kongo merupakan salah satu tempat yang terkotor di dunia, ekoran pencemaran udara, air, kekurangan bekalan air dan sebagainya.



5. Talian Aduan Pencemaran Alam Sekitar (Jabatan Alam Sekitar) ialah:

Talian Aduan: 03-88891972
Hotline: 1-800-88-2727


Sekian.

Friday 7 July 2017

INDEKS PENCEMARAN UDARA (IPU)




Hai semua! Saya pernah berkongsi dengan anda semua mengenai pencemaran udara dan juga jerebu sebelum ini. Jadi, saya ingin memberi sedikit lagi info yang sangat berguna kepada kita.

Seperti yang telah saya nyatakan dalam coretan sebelum ini, kualiti udara boleh dikategorikan mengikut Indeks Pencemaran Udara  atau dikenali sebagai IPU.

Nilai Status IPU:

0-50: Baik
51-100: Sederhana
101-200: Tidak sihat
201-300: Sangat tidak sihat
301-500: Berbahaya

Oleh itu, kita perlu sentiasa membaca surat khabar, atau mendapatkan info terkini melalui radio, televisyen, rangkaian media sosial dan sebagainya mengenai kualiti udara di kawasan kita, jika berlakunya jerebu, atau pencemaran udara.

Saya berharap, info ini akan menjadi ilmu yang berguna untuk kita semua. Kongsikanlah informasi ini bersama rakan-rakan dan ahli keluarga agar mereka turut peka terhadap Indeks Pencemaran Udara ini.

Sekian.


Wednesday 5 July 2017

ISU SEMASA


3 Julai 2017
Sumber: Akhbar Utusan Malaysia

Salam sejahtera semua. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk berkongsi dengan anda semua mengenai satu lagi isu semasa. Kali ini, saya terbaca satu surat kepada pengarang, daripada orang awam, yang diwara-warakan dalam surat khabar Utusan Malaysia bertarikh 3 Julai 2017


Salah seorang penduduk di kawasan Kampung Batu 6, Kuala Kedah telah meluahkan perasaan kecewa terhadap pencemaran udara yang berlaku di kawasan tersebut. Seperti yang dapat kita lihat melalui surat ini, udara di kawasan tersebut telah dicemari dengan racun serangga, ekoran kerja-kerja merobohkan kilang yang dahulunya pernah memproses racun yang berbahaya.



Penduduk kawasan tersebut berharap agar pihak berkuasa dapat mengambil tindakan yang sewajarnya, agar kerja-kerja merobohkan kilang tersebut dapat dilakukan dengan kaedah yang lebih selamat.

Saya teringin untuk berkongsi mengenai isu ini, dalam usaha membantu menyampaikan mesej pihak yang sepatutnya, agar pencemaran udara di kawasan tersebut dapat diatasi segera.


Sekian.



Sumber: Utusan (atas talian)
Berita ini dikongsi bagi tujuan informasi, dan pembelajaran/pengajaran kepada orang ramai.

Monday 3 July 2017

JEREBU


Salam sekalian. Hari ini, saya ingin berkongsi dengan anda semua sedikit sebanyak mengenai jerebu. 



Apakah itu jerebu? 


Saya pasti ramai di antara kita yang mempunyai pengalaman melalui fenomena jerebu ini. Jerebu merupakan fenomena pencemaran udara yang acapkali berlaku di pelbagai negara. Jerebu berlaku hasil daripada peningkatan debu-debu, habuk, asap, abu, pasir, ataupun salji (bergantung kepada negara) yang berlebihan dalam komposisi udara. Indeks Pencemaran Udara (IPU) digunakan untuk mengenalpasti tahap pencemaran udara dan betapa serius jerebu yang berlaku.

Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan berlakunya jerebu.

  • Asap dari sumber alam- hakisan tanah,letupan dan luahan gunung berapi,dan habuk tanah boleh menyebabkan jerebu.
  • Pembakaran terbuka - Pembakaran terbuka merupakan antara punca utama berlakunya jerebu. Pembakaran hutan bagi tujuan pembersihan tanah, pembakaran sisa-sisa dan sampah secara terbuka dan banyak lagi turut menyumbang kepada jerebu.
  • Pelepasan asap daripada kenderaan bermotor- Habuk, debu dan asap daripada kenderaan juga boleh menyebabkan jerebu.
  • Kawasan perindustrian- Asap dari cerombong asap di kilang-kilang yang terbebas ke udara, menyebabkan peningkatan dalam bahan seperti asap dan debu di udara, dan menyebabkan jerebu.
Dengan berlakunya jerebu, impak utama yang akan berlaku ialah, kesihatan manusia akan terjejas. Antaranya ialah, gangguan sistem pernafasan, kegatalan mata, gangguan kepada hidung dan banyak lagi. Selain itu, aktiviti seharian kita juga akan terjejas kerana kita tidak boleh keluar sesuka hati bagi mengelakkan asap jerebu ini, Hal ini sekaligus mampu menjejaskan ekonomi negara.


Nasihat kepada orang ramai ketika jerebu:

Bak kata pepatah Melayu, sediakan payung sebelum hujan, kita perlulah mengambil langkah-langkah berjaga ketika jerebu, bagi menjaga kesihatan kita.

Antaranya ialah:
  1. Kurangkan aktiviti luar, ataupun kekerapan keluar dari rumah.
  2. Banyakkan minum air masak bagi menjaga hidrasi badan kita.

  1. Mandi atau basuh muka, tangan, dan kaki setiap kali balik ke rumah, bagi membersihkan diri kita daripada asap jerebu.
  2. Jika perlu keluar untuk urusan yang penting, pakai topeng pelindung muka.

  1. Rujuk kepada doktor jika mempunyai masalah kesihatan, dan mengambil rawatan yang sepatutnya.
Saya berharap info yang telah saya kongsikan mampu menjadi panduan apabila berlakunya jerebu, kerana kita tidak dapat meramalkan fenomena ini. Oleh itu, kita harus mengambil langkah berjaga-jaga  dan bersedia untuk menghadapi sebarang masalah.

Sekian.


Sumber: Gambar dari Google Images

Gambar-gambar ini digunakan bagi tujuan pembelajaran dan pendidikan untuk orang ramai sahaja.

Wednesday 28 June 2017

PENCEMARAN AIR




(LANGKAH-LANGKAH MENGATASI PENCEMARAN AIR)


Salam sejahtera semua! Kita telahpun berbincang mengenai pencemaran air sebelum ini. Jadi, hari ini, mari kita fikirkan langkah-langkah yang boleh kita ambil untuk mengatasi pencemaran air.

Air merupakan sumber semula jadi yang sangat penting kepada semua jenis hidupan di muka bumi ini. Namun begitu, sumber yang ibarat permata itu (sangat berharga!) makin tercemar dek tindakan pelbagai pihak yang tidak bertanggungjawab. Tetapi, tiada gunalah jika kita saling menunding jari dan menyalahkan sesama sendiri. Oleh itu, saya ingin menyeru anda semua untuk membaca coretan ini, dan cuba mengambil pengajaran dalam usaha memelihara sumber semula jadi ini.


1. INDIVIDU





Pertama sekali, setiap seorang daripada kita, harus mempunyai kesedaran untuk menjaga kebersihan air. Antara perkara yang cukup mudah, yang boleh kita lakukan ialah, tidak membuang sampah ke dalam sungai, laut atau tasik jika kita berkelah di kawasan sekitarnya, ataupun melalui kawasan yang mempunyai air. bukan itu sahaja, jika kita ternampak sampah sarap di dalam air, beritahu diri sendiri untuk merajinkan diri untuk mengutip sampah tersebut. Jika bukan kita, siapakah yang akan memulakan langkah petama untuk membuat perubahan?

2. KOMUNITI





Sebagai masyarakat pula, kita boleh bekerjasama untuk mengadakan aktiviti gotong-royong dan membersihkan kawasan pantai, sungai, atau laut. Hal ini dapat meringankan beban pekerja yang membersihkan kawasan-kawasan tersebut. Bukan tu sahaja, jika kita ternampak kegiatan yang meragukan (sebagai contoh: kegiatan menghumban sampah atau sisa kilang), kita boleh melaporkan kegiatan itu kepada pihak berkuasa.

3.  PIHAK KERAJAAN





Pihak kerajaan perlu mengambil tindakan yang tegas dalam usaha mengatasi masalah ini. Akta-akta yang sedia ada boleh dikaji semula, dan rang undang-undang yang lebih ketat dan tegas terhadap pihak yang membuat pencemaran/ pelupusan sampah secara haram. Hukuman yang berat dan setimpal juga harus dijatuhkan. Selain itu, pihak kerajaan boleh membuka sebuah talian bagi memudahkan orang awam membuat laporan terhadap sebarang kegiatan pelupusan sampah atau pencemaran alam sekitar.

Bukan itu sahaja, baru-baru ini, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar telah membuat cadangan untuk memperkenalkan subjek pengajian alam sekitar di sekolah. Menurut menterinya, Datuk Seri DR Wan Junaidi Tuanku Jaafar, kementerian itu akan membuat perbincangan dengan Kementerian Pelajaran Malaysia mengenai tindakan selanjutnya. Cadangan ini telah diwar-warkan kepada umum melalui media massa. 

4. MEDIA MASSA




Pihak media boleh membuat iklan dan rancangan yang berkaitan alam sekitar, dan pencemaran yang kian berleluasa, bagi memberi kesedaran kepada orang awam mengenai isu-isu semasa. 



Saya berharap saya telah menerangkan serba sedikit mengenai peranan pelbagai pihak dalam usaha mengatasi masalah pencemaran air. Namun begitu, terdapat pelbagai pihak lain yang juga bertanggungjawab dalam perkara ini tidak kiralah secara langsung ataupun tidak langsung. Bukan sahaja pencemaran air, tetapi, pencemaran alam sekitar secara umumnya. 

Sekian.

Thursday 22 June 2017

KUIZ ALAM SEKITAR 2


Salam sejahtera semua. Hari ini, saya ada beberapa soalan sebagai kuiz untuk anda semua. Saya pasti ramai yang tertunggu-tunggu kuiz selepas satu sesi kuiz yang mudah sebelum ini.

Tidak mengapa jika anda membuat salah, asalkan anda semua belajar daripada kesilapan ini, dan menimba ilmu mengenai alam sekitar. Jom kita lihat dan jawab soalan-soalan di bawah ini.

1. Bagaimanakah kita boleh mengurangkan pencemaran udara?




A. Mengamalkan amalan kitar semula
B. Kurangkan pembakaran terbuka
C. Buang sampah ke dalam tong sampah.

2. Pencemaran bunyi boleh terhasil daripada...

A. Membuang sampah merata-rata
B. Pembakaran terbuka
C. Menyanyi di rumah
D. Jentera dan pembalak yang menggunakan gergaji besi untuk pembalakan.

3. Kitar semula

A. ialah amalan yang membazirkan
B. ialah dengan menggunakan plastik terpakai untuk membeli belah
C. sangat mahal 
D. ialah dengan mengumpul botol plastik secara banyak dan menanam di belakang rumah.

4. Pencemaran air

i. menyebabkan hidupan air mati.
ii. tidak mendatangkan kesan buruk kepada manusia.
iii. berlaku melalui pelupusan sisa kilang ke dalam sungai dan laut.
iv. tidak harus dianggap sebagai isu serius, kerana kurang kesan buruk

A. i dan iv
B. i, ii, iii
C. ii, iii, iv
D. i dan iii

5. Gotong Royong merapatkan hubungan silatulrahim antara penduduk setempat di samping membersihkan kawasan perumahan.



A Benar
B. Salah

6. Kanser kulit merupakan salah satu kesan pencemaran air.

A. Benar
B. Salah

7. Adalah tidak wajar, pihak yang mengotorkan alam sekitar dengan sisa kilang, atau sisa perindustrian dijatuhkan hukuman yang berat, kerana mereka tidak melakukan kesalahan yang besar.

A. Benar
B. Salah



Semak jawapan di bawah ye.....
























Jawapan:

1. B
2. D
3. B
4. D
5. A
6. A
7. B

PENCEMARAN NUKLEAR (RADIOAKTIF) Salam sejahtera semua... Kali ini, apakah topik yang bakal saya berkongsi dengan anda semua?  Jika ...