Thursday 13 July 2017

PENCEMARAN NUKLEAR (RADIOAKTIF)

Salam sejahtera semua...

Kali ini, apakah topik yang bakal saya berkongsi dengan anda semua? 
Jika kita lihat pada tajuk besar coretan ini, PENCEMARAN NUKLEAR (RADIOAKTIF). Apakah yang dimaksudkan dengan tajuk ini?




Di Malaysia?

Seperti yang kita sedia maklum, tenaga nuklear merupakan salah satu bentuk tenaga yang digunakan di pelbagai negara untuk penjanaan tenaga seperti tenaga elektrik. Walau bagaimanapun, Malaysia bukan merupakan salah satu negara yang menjana tenaga utamadaripada tenaga nuklear ini. Namun begitu, negara seperti China dan Perancis ada menggunakan tenaga nuklear sebagai salah satu sumber tenaga bagi negara mereka.

Namun, terdapat desas desus yang mengatakan bahawa loji tenaga nuklear bakal dilancarkan di Malaysia pada tahun 2031 dengan kemajuan teknologi darpada negara seperti Jepun, China dan Perancis.Oleh itu, kita mesti mengambil tahu baik buruk daripada pengimplementasian ini.

Tenaga nuklear merupakan bahan yang radioaktif. Terdapat pelbagai manfaat daripada penggunaan tenaga nuklear ini, tetapi pada masa yang sama, terdapat juga natijah buruk jika kita tidak bijak merancang penggunaan tenaga nuklear ini.



Pencemaran Nuklear

Apakah punca-punca berlakunya pencemaran nuklear?

Punca utama berlakunya pencemaran nuklear ialah disebabkan pembuangan sisa nuklear yang haram. Hal ini demikian kerana, sisa nuklear masih mempunyai kuasa radioaktif, dan jika dilupuskan dengan cara yang tidak betul dan di tempat yang salah, maka akan mendatang kesan yang buruk kepada kita. Malah, bahan radioaktif ini juga mampu terdedah daripada manusia kepada manusia dengan bahan ini dikendalikan dengan cara yang salah.  Pengangkutan mesin tenaga nuklear dari sesuatu tempat ke tempat yang lain juga menjadi salah satu punca berlakunya pencemaran nuklear.



Kesan-kesan pencemaran nuklear?

Terdapat pelbagai kesan buruk daripada pencemaran tenaga nuklear ini. Bahan radioaktif ini mampu memusnahkan habitat pelbagai spesies flora dan fauna. Bukan itu sahaja, kesuburan tanah turut terjejas ekoran pencemaran radioaktif. Bagi kita pula, pelbagai penyakit kronik kulit akan merebak atau menjadi isu yang serius ekoran pendedahan sinar dan tenaga radioaktif ini.


Tuntasnya, tenaga nuklear mempunya pelbagai kebaikan dan keburukan. Tetapi, kita haruslah mengambil langkah berjaga-jaga dan mengatasi masalah pencemaran nuklear ini. Sistem pelupusan sisa nuklear haruslah dijalankan dengan sistematik dan selamat agar tidak menjejaskan sesiapa.

Sekian.


Sumber: Gambar dari Google Images bagi tujuan pembelajaran sahaja.

Monday 10 July 2017

TAHUKAH ANDA?




1. Hari Alam Sekitar Sedunia disambut setiap tahun pada 5 Jun, sejak tahun 1972 lagi.




2. Taman Negara merupakan kawasan yang dilindungi pertama di Semenanjung Malaysia, dan diisytiharkan pada tahun 1938.



3. Kampung Mawlynnong dicatatkan sebagai "Kampung Terbersih di Asia". Perkampungan ini terletak 90 kilometer dari bandar Shillong, Meghalaya, India.

Kampung Mawlynnong



4. Brazzaville, Kongo merupakan salah satu tempat yang terkotor di dunia, ekoran pencemaran udara, air, kekurangan bekalan air dan sebagainya.



5. Talian Aduan Pencemaran Alam Sekitar (Jabatan Alam Sekitar) ialah:

Talian Aduan: 03-88891972
Hotline: 1-800-88-2727


Sekian.

Friday 7 July 2017

INDEKS PENCEMARAN UDARA (IPU)




Hai semua! Saya pernah berkongsi dengan anda semua mengenai pencemaran udara dan juga jerebu sebelum ini. Jadi, saya ingin memberi sedikit lagi info yang sangat berguna kepada kita.

Seperti yang telah saya nyatakan dalam coretan sebelum ini, kualiti udara boleh dikategorikan mengikut Indeks Pencemaran Udara  atau dikenali sebagai IPU.

Nilai Status IPU:

0-50: Baik
51-100: Sederhana
101-200: Tidak sihat
201-300: Sangat tidak sihat
301-500: Berbahaya

Oleh itu, kita perlu sentiasa membaca surat khabar, atau mendapatkan info terkini melalui radio, televisyen, rangkaian media sosial dan sebagainya mengenai kualiti udara di kawasan kita, jika berlakunya jerebu, atau pencemaran udara.

Saya berharap, info ini akan menjadi ilmu yang berguna untuk kita semua. Kongsikanlah informasi ini bersama rakan-rakan dan ahli keluarga agar mereka turut peka terhadap Indeks Pencemaran Udara ini.

Sekian.


Wednesday 5 July 2017

ISU SEMASA


3 Julai 2017
Sumber: Akhbar Utusan Malaysia

Salam sejahtera semua. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk berkongsi dengan anda semua mengenai satu lagi isu semasa. Kali ini, saya terbaca satu surat kepada pengarang, daripada orang awam, yang diwara-warakan dalam surat khabar Utusan Malaysia bertarikh 3 Julai 2017


Salah seorang penduduk di kawasan Kampung Batu 6, Kuala Kedah telah meluahkan perasaan kecewa terhadap pencemaran udara yang berlaku di kawasan tersebut. Seperti yang dapat kita lihat melalui surat ini, udara di kawasan tersebut telah dicemari dengan racun serangga, ekoran kerja-kerja merobohkan kilang yang dahulunya pernah memproses racun yang berbahaya.



Penduduk kawasan tersebut berharap agar pihak berkuasa dapat mengambil tindakan yang sewajarnya, agar kerja-kerja merobohkan kilang tersebut dapat dilakukan dengan kaedah yang lebih selamat.

Saya teringin untuk berkongsi mengenai isu ini, dalam usaha membantu menyampaikan mesej pihak yang sepatutnya, agar pencemaran udara di kawasan tersebut dapat diatasi segera.


Sekian.



Sumber: Utusan (atas talian)
Berita ini dikongsi bagi tujuan informasi, dan pembelajaran/pengajaran kepada orang ramai.

Monday 3 July 2017

JEREBU


Salam sekalian. Hari ini, saya ingin berkongsi dengan anda semua sedikit sebanyak mengenai jerebu. 



Apakah itu jerebu? 


Saya pasti ramai di antara kita yang mempunyai pengalaman melalui fenomena jerebu ini. Jerebu merupakan fenomena pencemaran udara yang acapkali berlaku di pelbagai negara. Jerebu berlaku hasil daripada peningkatan debu-debu, habuk, asap, abu, pasir, ataupun salji (bergantung kepada negara) yang berlebihan dalam komposisi udara. Indeks Pencemaran Udara (IPU) digunakan untuk mengenalpasti tahap pencemaran udara dan betapa serius jerebu yang berlaku.

Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan berlakunya jerebu.

  • Asap dari sumber alam- hakisan tanah,letupan dan luahan gunung berapi,dan habuk tanah boleh menyebabkan jerebu.
  • Pembakaran terbuka - Pembakaran terbuka merupakan antara punca utama berlakunya jerebu. Pembakaran hutan bagi tujuan pembersihan tanah, pembakaran sisa-sisa dan sampah secara terbuka dan banyak lagi turut menyumbang kepada jerebu.
  • Pelepasan asap daripada kenderaan bermotor- Habuk, debu dan asap daripada kenderaan juga boleh menyebabkan jerebu.
  • Kawasan perindustrian- Asap dari cerombong asap di kilang-kilang yang terbebas ke udara, menyebabkan peningkatan dalam bahan seperti asap dan debu di udara, dan menyebabkan jerebu.
Dengan berlakunya jerebu, impak utama yang akan berlaku ialah, kesihatan manusia akan terjejas. Antaranya ialah, gangguan sistem pernafasan, kegatalan mata, gangguan kepada hidung dan banyak lagi. Selain itu, aktiviti seharian kita juga akan terjejas kerana kita tidak boleh keluar sesuka hati bagi mengelakkan asap jerebu ini, Hal ini sekaligus mampu menjejaskan ekonomi negara.


Nasihat kepada orang ramai ketika jerebu:

Bak kata pepatah Melayu, sediakan payung sebelum hujan, kita perlulah mengambil langkah-langkah berjaga ketika jerebu, bagi menjaga kesihatan kita.

Antaranya ialah:
  1. Kurangkan aktiviti luar, ataupun kekerapan keluar dari rumah.
  2. Banyakkan minum air masak bagi menjaga hidrasi badan kita.

  1. Mandi atau basuh muka, tangan, dan kaki setiap kali balik ke rumah, bagi membersihkan diri kita daripada asap jerebu.
  2. Jika perlu keluar untuk urusan yang penting, pakai topeng pelindung muka.

  1. Rujuk kepada doktor jika mempunyai masalah kesihatan, dan mengambil rawatan yang sepatutnya.
Saya berharap info yang telah saya kongsikan mampu menjadi panduan apabila berlakunya jerebu, kerana kita tidak dapat meramalkan fenomena ini. Oleh itu, kita harus mengambil langkah berjaga-jaga  dan bersedia untuk menghadapi sebarang masalah.

Sekian.


Sumber: Gambar dari Google Images

Gambar-gambar ini digunakan bagi tujuan pembelajaran dan pendidikan untuk orang ramai sahaja.

Wednesday 28 June 2017

PENCEMARAN AIR




(LANGKAH-LANGKAH MENGATASI PENCEMARAN AIR)


Salam sejahtera semua! Kita telahpun berbincang mengenai pencemaran air sebelum ini. Jadi, hari ini, mari kita fikirkan langkah-langkah yang boleh kita ambil untuk mengatasi pencemaran air.

Air merupakan sumber semula jadi yang sangat penting kepada semua jenis hidupan di muka bumi ini. Namun begitu, sumber yang ibarat permata itu (sangat berharga!) makin tercemar dek tindakan pelbagai pihak yang tidak bertanggungjawab. Tetapi, tiada gunalah jika kita saling menunding jari dan menyalahkan sesama sendiri. Oleh itu, saya ingin menyeru anda semua untuk membaca coretan ini, dan cuba mengambil pengajaran dalam usaha memelihara sumber semula jadi ini.


1. INDIVIDU





Pertama sekali, setiap seorang daripada kita, harus mempunyai kesedaran untuk menjaga kebersihan air. Antara perkara yang cukup mudah, yang boleh kita lakukan ialah, tidak membuang sampah ke dalam sungai, laut atau tasik jika kita berkelah di kawasan sekitarnya, ataupun melalui kawasan yang mempunyai air. bukan itu sahaja, jika kita ternampak sampah sarap di dalam air, beritahu diri sendiri untuk merajinkan diri untuk mengutip sampah tersebut. Jika bukan kita, siapakah yang akan memulakan langkah petama untuk membuat perubahan?

2. KOMUNITI





Sebagai masyarakat pula, kita boleh bekerjasama untuk mengadakan aktiviti gotong-royong dan membersihkan kawasan pantai, sungai, atau laut. Hal ini dapat meringankan beban pekerja yang membersihkan kawasan-kawasan tersebut. Bukan tu sahaja, jika kita ternampak kegiatan yang meragukan (sebagai contoh: kegiatan menghumban sampah atau sisa kilang), kita boleh melaporkan kegiatan itu kepada pihak berkuasa.

3.  PIHAK KERAJAAN





Pihak kerajaan perlu mengambil tindakan yang tegas dalam usaha mengatasi masalah ini. Akta-akta yang sedia ada boleh dikaji semula, dan rang undang-undang yang lebih ketat dan tegas terhadap pihak yang membuat pencemaran/ pelupusan sampah secara haram. Hukuman yang berat dan setimpal juga harus dijatuhkan. Selain itu, pihak kerajaan boleh membuka sebuah talian bagi memudahkan orang awam membuat laporan terhadap sebarang kegiatan pelupusan sampah atau pencemaran alam sekitar.

Bukan itu sahaja, baru-baru ini, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar telah membuat cadangan untuk memperkenalkan subjek pengajian alam sekitar di sekolah. Menurut menterinya, Datuk Seri DR Wan Junaidi Tuanku Jaafar, kementerian itu akan membuat perbincangan dengan Kementerian Pelajaran Malaysia mengenai tindakan selanjutnya. Cadangan ini telah diwar-warkan kepada umum melalui media massa. 

4. MEDIA MASSA




Pihak media boleh membuat iklan dan rancangan yang berkaitan alam sekitar, dan pencemaran yang kian berleluasa, bagi memberi kesedaran kepada orang awam mengenai isu-isu semasa. 



Saya berharap saya telah menerangkan serba sedikit mengenai peranan pelbagai pihak dalam usaha mengatasi masalah pencemaran air. Namun begitu, terdapat pelbagai pihak lain yang juga bertanggungjawab dalam perkara ini tidak kiralah secara langsung ataupun tidak langsung. Bukan sahaja pencemaran air, tetapi, pencemaran alam sekitar secara umumnya. 

Sekian.

Thursday 22 June 2017

KUIZ ALAM SEKITAR 2


Salam sejahtera semua. Hari ini, saya ada beberapa soalan sebagai kuiz untuk anda semua. Saya pasti ramai yang tertunggu-tunggu kuiz selepas satu sesi kuiz yang mudah sebelum ini.

Tidak mengapa jika anda membuat salah, asalkan anda semua belajar daripada kesilapan ini, dan menimba ilmu mengenai alam sekitar. Jom kita lihat dan jawab soalan-soalan di bawah ini.

1. Bagaimanakah kita boleh mengurangkan pencemaran udara?




A. Mengamalkan amalan kitar semula
B. Kurangkan pembakaran terbuka
C. Buang sampah ke dalam tong sampah.

2. Pencemaran bunyi boleh terhasil daripada...

A. Membuang sampah merata-rata
B. Pembakaran terbuka
C. Menyanyi di rumah
D. Jentera dan pembalak yang menggunakan gergaji besi untuk pembalakan.

3. Kitar semula

A. ialah amalan yang membazirkan
B. ialah dengan menggunakan plastik terpakai untuk membeli belah
C. sangat mahal 
D. ialah dengan mengumpul botol plastik secara banyak dan menanam di belakang rumah.

4. Pencemaran air

i. menyebabkan hidupan air mati.
ii. tidak mendatangkan kesan buruk kepada manusia.
iii. berlaku melalui pelupusan sisa kilang ke dalam sungai dan laut.
iv. tidak harus dianggap sebagai isu serius, kerana kurang kesan buruk

A. i dan iv
B. i, ii, iii
C. ii, iii, iv
D. i dan iii

5. Gotong Royong merapatkan hubungan silatulrahim antara penduduk setempat di samping membersihkan kawasan perumahan.



A Benar
B. Salah

6. Kanser kulit merupakan salah satu kesan pencemaran air.

A. Benar
B. Salah

7. Adalah tidak wajar, pihak yang mengotorkan alam sekitar dengan sisa kilang, atau sisa perindustrian dijatuhkan hukuman yang berat, kerana mereka tidak melakukan kesalahan yang besar.

A. Benar
B. Salah



Semak jawapan di bawah ye.....
























Jawapan:

1. B
2. D
3. B
4. D
5. A
6. A
7. B

Tuesday 20 June 2017

KITAR SEMULA

KITAR SEMULA (BAHAGIAN 2)


Salam sekalian! Saya pasti ramai pengunjung setia blog ini, tertunggu-tunggu coretan mengenai isu yang sering kita bincangkan, mengenai alam sekitar. Bukan itu sahaja, saya pernah berjanji untuk berkongsi bersama anda semua mengenai cara-cara lain yang boleh kita praktikkan untuk mengitar semula barangan, selain mengasingkan ke dalam tong kitar semula, dan memproses semula bahan tersebut.

           Seperti yang kita semua tahu, kitar semula ialah proses menguna semula, atau memproses bahan, dijadikan bahan yang boleh diguna semula. Jadi, kita boleh kitar semula banyak bahan walaupun tanpa memproses semula bahan tersebut.

Bagaimana?


1. Membuat kraf tangan


Saya pasti ramai di antara kita yang gemar membuat kraf tangan sebagai hobi di masa lapang. Namun begitu, ramai di antara kita juga perlu membelanjakan sejumlah wang yang banyak dan membeli bahan untuk membuat kraf tangan tersebut. Tahukah anda semua, anda tidak perlu membeli bahan yang mahal, tetapi guna semula bahan yang terdapat di rumah, yang tidak lagi digunakan.

Baru-baru ini, saya telah mengikuti aktiviti lawatan sambil belajar ke Sekolah Khas Klang, sebahagian daripada aktiviti fakulti (pelajar universiti). Salah satu aktiviti yang mereka ajar kepada pelajar khas di sana ialah, untuk membuat kraf tangan daripada majalah lama, dan kain lama yang tidak dipakai. Mereka membuat bakul, bekas alat tulis, alat mainan dan banyak lagi. Kos untuk membuat barangan ini tidaklah banyak, kerana mereka mengguna semula barangan seperti majalah yang di dermakan, dan baju, kain yang tidak lagi dipakai. Saya sangat kagum melihat kekemasan kerja mereka semua.

Saya tidak melepaskan peluang untuk membeli bekas alat tulis, yang sangat cantik, dikemaskan dengan sapuan syelek dan cat varnish.

Bukan itu sahaja, malah, hari ini, sebuah organisasi yang mengutip derma untuk kanak-kanak spastik turut menjual kad ucapan yang dibuat daripada kertas yang diproses sendiri dan diwarnakan.

Jadi? Mengapakah kita tidak boleh membuat perkara yang sama. Bukankah lagi menjimatkan jika kita mengguna pakai barangan di rumah, dan dijadikan hiasan daripada dibiarkan berlonggok dan menjadikan rumah kita kurang bersih.




Gambar-gambar di atas adalah contoh kraf tangan atau hiasan yang boleh kita hasilkan daripada barangan seperti botol minuman, klip, batang ais krim, kertas dan banyak lagi. Jadi, apa yang kita tunggu lagi? Jom luangkan masa lapang dengan membuat hiasan ini dan hiasi rumah kita.


2. Baja Organik/ Kompos




Baja organik merupakan alternatif lain bagi kita mengunakan sisa seperti sisa makanan, bagi kegunaan kebun kita. 

Ramai di antara kita yang sudah pasti menanam satu atau dua pokok di rumah, tidak kiralah pokok bunga, sayur atau pokok buah-buahan. Kita perlu membaja pokok ini agar tumbuh subur. Namun, baja yang mengandungi bahan kimia, kurang digalakkan. Jadi, kita boleh membuat baja  sendiri di rumah, yang lebih baik, dan lebih berkualiti untuk tanaman kesayangan kita.

Kita boleh menggunakan sisa makanan, di campurkan dengan tanah, dan dibiarkan untuk mereput, dan menjadi baja. Malah, bukan sahaja sisa makanan, tetapi rumput-rumput yang dipotong serta daun kering boleh turut digunakan untuk membuat baja organik ini.

Saya akan berkongsi dengan anda semua cara mudah untuk membuat baja organik ini, agar anda semua boleh mencuba di rumah.

Cara membuat baja kompos.

Anda perlukan:
1. Sebuah bekas
2.Tanah
3. Sisa makanan, rumput, daun kering

Prosesnya cukup mudah. Dalam bekas yang ada, saiz terpulang kepada keperluan, kita letakkan tanah, dan diikuti sisa makanan, rumput atau daun-daun kering. Seterusnya, kita lapiskan dan selang selikan lapisan tanah dan sisa-sisa. Siram air dan bolak balikkan kandungan dalam bekas itu selang beberapa hari (selalunya dalam 2 hari sekali). Setelah sebulan atau mungkin lebih, kandungan dalam bekas itu ialah baja kompos!! Anda boleh menggunakan baja tersebut.

Sungguh mudah kan? Saya berharap saya telah memberi tips yang baik untuk di cuba di rumah anda semua.

Terdapat banyak lagi tips dan cara untuk kita mengitar semula, atau mengguna semula bahan yang lazimnya kita longgokkan atau buang begitu sahaja. Kesimpulannya, saya berharap kita semua akan berusaha membuat perkara sebegini, dan mengurangkan bilangan sisa atau sampah, sebanyak yang kita boleh, dan memelihara persekitaran kita.


Sekian.


Sumber: Beberapa gambar daripada Google Images untuk tujuan pendidikan dan pembelajaran


Sunday 4 June 2017




ISU SEMASA 

Utusan Malaysia 17 Mei 2017

Selain berkongsi fakta-fakta dan info mengenai alam sekitar, dan pencemaran alam sekitar, saya rasa saya juga bertanggungjawab untuk berkongsi mengenai isu-isu semasa, agar kita semua dapat mengetahui isu-isu yang sedang berlaku kini. 

Gambar yang saya paparkan di atas merupakan sebahagian daripada berita daripada akhbar Utusan Melayu (atas talian), tarikh 17 Mei 2017.

"Basmi pusat pelupusan sampah haram"


Begitulah tajuk utama berita ini. Seperti yang saya telah bincangkan dalam coretan sebelum ini, pelupusan sampah secara haram banyak menyumbang kepada pencemaran alam sekitar. Sehubungan dengan itu, pihak berkuasa telah mengambil langkah untuk membasmi pusat pelupusan sampah haram yang kian berleluasa.


" Selain itu katanya, kementerian merancang menguatkuasakan Akta 672 kepada pihak industri kerana sektor itu merupakan antara penyumbang terbesar sampah sarap di negara ini.
“Kita kena buat peraturan untuk ambil tindakan atau menguatkuasakan Akta 672 kepada industri. Mereka tidak boleh terlepas dengan akta ini. Untuk kawasan perumahan mereka akan letak sampah di depan rumah dan kita kutip, namun industri kita tidak tahu di mana sisa sampah sarap dibuang.
“Kita juga tidak dapat masuk ke kawasan industri untuk melihat kaedah pelupusan mereka termasuk di kawasan-kawasan pembangunan, jadi perlu ada satu peraturan dan undang-undang yang jelas berhubung perkara tersebut bagi mengelak sisa pe­pejal tidak diurus dengan baik,” katanya."


Begitulah tindakan yang telah dirancang. Diharap tindakan yang disusul ini mampu membantu mengurangkan bilangan pusat pelupusan haram, sekaligus mengurangkan kadar pencemaran alam sekitar.
Saya akan berkongsi dengan anda semua laman web tersebut untuk berita yang sepenuhnya. 

Untuk berita yang sepenuhnya:
http://www.utusan.com.my/berita/nasional/basmi-pusat-pelupusan-sampah-haram-8211-noh-1.482340

Sekian.

Perkongsian ini hanyalah untuk tujuan pendidikan dan kesedaran semata-mata.

Sumber:
Berita Utusan Melayu (17 Mei 2017)

Friday 2 June 2017

PENCEMARAN ALAM SEKITAR


Saya telah berkongsi dengan anda semua, pelbagai isu yang berkaitan dengan pencemaran alam sekitar, punca-punca, dan kesan kepada kita semua. Tidak dilupakan, saya juga turut berkongsi mengenai keindahan alam sekitar. Namun begitu, saya tidak ingin mengaburi mata anda semua dengan keindahan semata-mata, malah, beberapa isu pencemaran alam sekitar yang menyedihkan saya. 

Tatkala melayari laman sesawang, saya terjumpa pelbagai artikel, keratan akhbar, dan gambar yang menunjukkan betapa tercemarnya bumi kita.

Sungai yang dipenuhi sampah sarap

Sungai yang sepatutnya menjadi habitat pelbagai spesies, dipenuhi sampah sarap


Sungai Klang yang tercemar


Habitat ikan, yang juga sumber makanan kita, kini tecemar, dan menyebabkan ikan semua mati.

Gambar-gambar yang saya kongsikan bersama anda semua ini hanyalah sedikit daripada situasi yang berlaku di realiti. Adakah kita semua akan berpeluk tubuh dan mendiamkan diri melihat semua ini? Apakah yang akan kita buat jika seluruh pelosok di muka bumi ini tercemar? Bukankah lebih baik jika kita mengambil langkah untuk mengatasi masalah ini, daripada menyesal di kemudian hari?

Akhir kata, saya ingin berkongsi satu lagi gambar yang cukup menyentuh hati. Gambar ini bukanlah kepunyaan saya, jadi saya ingin meminta izin dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada laman, sumber gambar ini, tamb (Youtube).


Fikirkanlah, adakah kita akan mengalami masalah yang sama seperti yang ditunjukkan di gambar di atas, atau mengambil langkah yang sepatutnya sebelum nasi menjadi bubur.

Sekian.




Sumber: Gambar daripada Google Images

KUIZ KITAR SEMULA


Salam sekalian, kali ini saya ingin menguji pembaca blog ini, terutamanya adik-adik kita yang masih bersekolah dengan beberapa soalan berkaitan kitar semula. Soalan yang saya akan berikan cukup mudah, dan saya berharap, anda semua akan mendapat 100% betul. Jawapan akan saya berikan di akhir kesemua soalan nanti. Jangan tipu ye.....

Nota: Galakkan anak-anak/ adik-beradik untuk mencuba soalan ini, dan memberi pendedahan mengenai kitar semula, dari usia yang muda lagi.




1. Apakah maksud kitar semula?



A. Mengolah semula bahan untuk dijadikan bahan yang baru.
B. Menjual atau membeli
C. Menghasilkan bahan baru
D. Tidak tahu

2. Barangan berikut harus dibuang ke dalam tong kitar semula berwarna coklat, KECUALI

A. bekas jem
B. botol kicap
C. botol vitamin
D. lampu kalimantang (lampu rumah)

3. Kertas harus dibuang ke dalam tong yang berwarna:

A. Coklat
B. Oren
C. Biru
D. Tidak tahu

4. Tong jingga di khaskan untuk membuang barangan yang di buat daripada:


A. Tin aluminium, plastik dan tin keluli
B. Plastik dan kertas
C. Tin aluminium, kertas dan plastik
D. Sisa makanan

5. Kita dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar dengan mengitar semula.

A. Betul
B. Salah
C. Tidak pasti

6. Kita boleh membuang sisa makanan ke dalam tong kitar semula.

Sisa makanan

A. Betul
B. Salah
C. Tidak pasti.


Itu sahaja soalan pada kali ini! Saya pasti anda semua ingin menyemak jawapan, kan?





JAWAPAN:

1. A
2. D
3. C
4. A
5. A
6. B

Saya pasti semua yang telah cuba menjawab soalan ini mendapat semua betul. Mungkin selepas ini saya harus memberi soalan yang agak susah untuk menguji anda semua. Nantikan banyak lagi soalan dan info yang menarik!

Sekian.

Thursday 1 June 2017

TONG KITAR SEMULA DI KLIA 1





Hai semua! Saya berpeluang untuk pergi ke KLIA 1 semalam, untuk menghantar abang saya yang membuat perjalanan ke luar negara. Semenjak mula menulis blog, saya menjadi lebih peka terhadap isu-isu alam sekitar pula, Hahaha!


Lebih-lebih lagi, setelah menulis mengenai amalan kitar semula. Sambil berjalan di KLIA, melihat pelbagai kedai di sana, dan orang ramai yang menunggu pesawat dan banyak lagi, saya terlihat tong kitar semula yang saya ceritakan sebelum ini.

Tong kitar semula

TADAAAAAA!!!!

Itu dia, tong kitar semula. Lain daripada gambar yang saya berkongsi sebelum ini, tong ini nampak lagi cantik dan ceria! Namun, fungsinya tetap sama. Malah, tong berlabel ini, turut memudahkan para pengguna untuk mengasingkan sisa atau sampah yang ingin dibuang. 

Saya teruja melihat banyak tong kitar semula yang di sediakan di setiap aras lapangan terbang KLIA. 

Jadi, saya pun mengambil keputusan untuk mengambil gambar agar dapat dikongsi bersama rakan-rakan yang lain, tidak kira yang pernah ke KLIA 1 ataupun belum lagi. 




Sunday 28 May 2017

Kitar Semula

JOM KITAR SEMULA!


Salam sejahtera! Harap semua sihat-sihat belaka. Pada hujung minggu macam ini, kebiasannya, ibu bapa kita akan pergi ke pasar pagi, untuk membeli keperluan dapur dan barang-barang harian, seperti sayur-sayuran, buah buahan, ayam, daging, dan macam macam lagi. Tidak dilupakan, adik-adik yang gemar ke pasar, untuk membeli kuih-muih dan sarapan pagi. 





Ketika inilah, timbul idea untuk saya menulis mengenai satu lagi isu yang cukup 'terkenal' dalam kalangan kita, iaitu kitar semula. 

Topik ini cukup luas untuk kita bincangkan, jadi saya akan berkongsi secara ringkas mengenai amalan kitar semula.

APAKAH ITU KITAR SEMULA?



Kitar semula ialah proses mengolah semula bahan buangan untuk meghasilkan bahan yang baru.

Terdapat banyak bahan yang boleh kita kitar semula. Contohnya, kaca, kertas, logam, elektronik dan banyak lagi.

Apakah manfaat daripada amalan kitar semula?

1. Mengurangkan jumlah sampah yang perlu dilupuskan.
2. Menjimatkan bahan mentah yang digunakan untuk membuat bahan baru.
3. Mengurangkan pencemaran alam.
4. Menjimatkan kos membuat bahan baru, sekaligus menjimatkan kos membeli para pengguna.
5. Mengurangkan tenaga yang digunakan untuk membuat bahan baru.

dan banyak lagi.

Lazimnya, apabila kita bercakap mengenai kitar semula, seringkali kita akan memikirkan mengenai tong kitar semula yang terdapat di kawasan perumahan kita.





 Memang benar, kebanyakan barang yang boleh dikitar semula, lazimnya boleh dibuang di sini, dan seterusnya, dikumpulkan dan dibawa ke pusat kitar semula. Tetapi, terdapat banyak lagi kaedah lain untuk kita kitar semula, yang akan saya berkongsi dengan anda semua dalam coretan yang lain.



KENALI TONG KITAR SEMULA ANDA.


Kebiasannya, terdapat 3 tong kitar semula, iaitu tong yang berwarna biru, coklat dan jingga(oren).



1. Tong biru: Kertas sahaja.
2. Tong coklat: Kaca sahaja.
3. Tong Jingga (Oren): Tin aluminium, tin keluli, dan plastik.

Jadi, kita sebagai pengguna berhemah seharusnya membuang barang-barang ke dalam tong kitar semula ini, mengikut kod warna tong, dan bahan yang di benarkan sahaja. Hal ini akan memudahkan proses pengasingan bahan, dan pemprosesan bahan di pusat kitar semula, di samping mengurangkan risiko seperti kecederaan, jika kita membuang kaca dalam tong yang dikhaskan untuk kertas sahaja.

Saya berharap, info ini dapat dikongsi bersama rakan-rakan yang lain, agar semua dapat memanfaatkan ilmu ini. Sebarang komen atau pendapat amatlah digalakkan. 

Sekian.


Sumber:  Gambar dari Google Images

Friday 19 May 2017

KEKUATAN BUNYI


Salam sejahtera semua! Hari ini, saya ingin berkongsi mengenai satu topik yang cukup menarik. Saya ingin bercerita mengenai bunyi, dan bagaimanakah bunyi ini diukur kekuatannya, ataupun perkataan yang kita kenali sebagai frekuensi.

Bunyi terhasil daripada getaran dan gelombang, yang menghasilkan tenaga yang kita kenali sebagai tenaga bunyi. Oleh itu, setiap gelombang dapat diukur kekuatannya.

Kekuatan bunyi seringkali di ukur dengan unit Desibel atau Hertz. Bagi memudahkan pemahaman kita, saya akan memberi beberapa contoh dalam kehidupan seharian kita, dan ukuran desibel bagi bunyi yang dihasilkan.


Saya telah senaraikan beberapa contoh bunyi dalam jadual di bawah ini.


Jumlah Desibel
Contoh Bunyi
40
Bunyi titisan air hujan
60
Perbualan seharian
85
Bandar yang mengalami kesesakan lalu lintas
90
Pengering rambut
105
Konsert
110
Gergaji
115
Bunyi dari iPod (maksima)
140
Bunyi tembakan/ bunga api

Ada di antara kita yang mungkin terfikir, bukankah bunyi ini sebahagian daripada aktiviti harian kita. Bagaimanakah bunyi ini boleh mengundang masalah? 

Jawapannya, jika kita sentiasa terdedah kepada bunyi yang kuat ini, pendengaran kita boleh terjejas. Salah satu organ dalam telinga, iaitu koklear (cochlea), merupakan organ yang berfungsi untuk memindahkan gelombang bunyi dan mentafsirkan di saraf dan otak kita. Dengan bunyi yang kuat, koklear akan terjejas dan menjadi tidak berfungsi. Hal ini akan mengakibatkan masalah pendengaran.

Koklear merupakan organ berbentuk siput(berlingkar) yang menghantar isyarat ke saraf yang dihubungkan ke otak.


Kesimpulannya, kita harus mengelakkan daripada mendengar bunyi yang kuat untuk jangka masa yang panjang.
Sekian.




Sumber Gambar: Google Images

Saturday 13 May 2017

PENCEMARAN BUNYI





Salam Sejahtera semua! Saya pasti anda semua akan ternanti-nanti apakah yang saya bakal ceritakan, atau berkongsi bersama.....

Hari ini, saya ingin berkongsi sedikit ilmu, atau info mengenai satu lagi pencemaran yang menjadi seperti duri dalam daging bagi kita semua, iaitu pencemaran bunyi.

Bunyi merupakan salah satu bentuk tenaga, yang dapat dihasilkan daripada pelbagai sumber. Malah, sumber tenaga ini merupakan antara sumber yang amat penting dalam kehidupan kita semua. Cuba bayangkan hidup kita, jika kita tidak mempunyai tenaga bunyi ini. Bayangkan kesuniyan dan kesepian di alam semesta ini tanpa adanya tenaga bunyi. Jadi, sudah terang lagi bersuluh bunyi merupakan elemen penting dalam kehidupan kita.

Namun begitu, tenaga bunyi yang melebihi batasan, atau melampaui tahap yang sepatutnya, akan mendatangkan keburukan kepada kita. Situasi inilah yang kita kenali sebagai pencemaran bunyi.

APAKAH PUNCA-PUNCA PENCEMARAN BUNYI?

Jadi, soalan seterusnya, bagaimanakah pencemaran bunyi ini boleh berlaku?

1. Aktiviti-aktiviti pembinaan

Aktiviti pembinaan ini banyak menghasilkan bunyi yang kuat, yang kurang menyenangkan bagi kita. Bunyi ini terhasil daripada aktiviti menggerudi, penanaman cerucuk, dan kerja pemunggahan batu dan bahan pembinaan. 

2. Bunyi daripada kilang-kilang perindustrian.

Kerja memproses bahan-bahan di kilang turut menghasilkan bunyi yang kuat. Lebih-lebih lagi jika kilang-kilang ini berdekatan dengan kawasan perumahan. Hampir setiap hari kita bole mendengar bunyi dari kilang ini, yang menjejaskan aktiviti harian kita seperti tidur malam, atau membuat kerja dan belajar di rumah atau sekolah.

3. Insan yang tidak bertanggungjawab.

Bagaimana? Kita dapat lihat bagaimana sesetengah penduduk di kawasan perumahan, menghasilkan bunyi yang kuat, dengan meletekkan pembesar suara (speaker) tanpa memikirkan jiran-jiran di kawasan berdekatan. Situasi ini juga kita boleh kategorikan sebagai pencemaran bunyi.


4. Kenderaan bermotor.



Kenderaan bermotor juga merupakan antara punca berlakunya pencemaran bunyi. Lebih-lebih lagi apabila para pembonceng motor atau pemandu, gemar menderum dan menghasilkan bunyi yang kuat.



APAKAH KESAN-KESAN PENCEMARAN BUNYI?




1. Ketidakseimbangan ekosistem

Semua spesies, tidak kira manusia, haiwan, tumbuhan dan spesies lain, akan terjejas daripada pencemaran bunyi. Hal ini boleh mengakibatkan sesetengah spesies pupus, ekoran tidak dapat mengadaptasi dengan situasi sebegitu. 



2. Kesihatan manusia terjejas.



Bagi kita, manusis sejagat, pencemaran bunyi, boleh menjejaskan kesihatan, atau lebih teruk lagi, menjadi PEKAK! Terdapat sesetengah di antara kita, yang tidak mampu mengawal emosi kita apabila terdedah dengan bunyi bising sebegini, dan menjejaskan psikologi manusia.



KESIMPULAN

             Tamsilannya, pencemaran bunyi boleh menjejaskan semua hidupan di alam ini. Oleh itu, kita harus mengambil pelbagai langkah untuk mengurangkan pencemaran bunyi. Antara langkah yang bole kita ambil ialah, mendengar muzik, dengan bunyi yang terkawal. Bagi pihak perindustrian pula, mereka boleh membina kilang-kilang di kawasan yang jauh dari kawasan perumahan agar tidak memberi kesan kepada kehidupan seharian kita.

Friday 5 May 2017


SUDUT INFORMASI


Salam 1 Malaysia semua!

Setelah sehari suntuk sibuk dengan kuliah,  akhirnya dapat juga peluang untuk saya membuat satu lagi coretan untuk kalian. Saya ingin berkongsi dengan kalian semua, tiga laman sesawang yang memberi informasi yang sangat baik untuk kita, berkaitan dengan alam sekitar. Sebenarnya terdapat banyak lagi laman sesawang, tetapi saya hanya sempat meneroka tiga ini. saya akan berkongsi dengan anda, laman-laman sesawang yang lain, kemudian.


1.  Portal Jabatan Alam Sekitar

Laman sesawang ini terdapat pelbagai informasi yang sangat berguna. Terdapat informasi mengenai struktur pentadbiran jabatan, arkib keratan akhbar, kes mahkamah, draf undang-undang, maklumat alam sekitar dan banyak lagi.

Untuk maklumat lanjut, layari:

https://www.doe.gov.my/portalv1/



2. Portal Rasmi Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar

Laman ini juga mengediakan pelbagai informasi mengenai dasar, undang-undang, fakta mengenai alam sekitar, kualiti alam sekitar dan banyak lagi.

Untuk maklumat lanjut, layari:

http://www.nre.gov.my/ms-my/AlamSekitar/Pages/default.aspx


3. FOMCA (Dasar Kualiti dan Alam Sekitar)

Laman ini juga sangat berinformasi. Pihak FOMCA menerangkan pelbagai operasi yang mereka lakukan dalam usaha memelihara dan memulihara alam sekitar ini.

Untuk maklumat lanjut, layari:

http://www.fomca.org.my/v1/index.php/profil-fomca/dasar-kualiti-alam-sekitar-fomca

Thursday 4 May 2017

JOM NIKMATI KEINDAHAN ALAM SEKITAR!





Coretan kali ini, bukanlah untuk membincangkan sebarang isu, tetapi, saya ingin berkongsi beberapa gambar ilusi, yang menggambarkan betapa cantiknya alam sekitar ciptaan Tuhan.





Saya telah mengambil gambar ilusi ini dari sumber Google Images. Sekalung penghargaan kepada mereka, kerana berkongsi bersama kita keindahan ciptaan Tuhan. Jadi, saya juga telah berkongsi gambar-gambar tersebut buat tatapan sekalian. Saya berharap tiada pihak yang tersinggung atau terjejas. Sebarang komen dari anda, amatlah digalakkan.

Sekian.

KEMPEN HARI TANPA BEG PLASTIK




Seperti yang kita semua tahu, beg plastik merupakan satu bahan yang cukup "terkenal" dan digunakan secara meluas. Namun begitu, beg plastik tidak dapat dikitar semula, walaupun terdapat usaha-usaha yang sedang dijalankan untuk mencari jalan, berbuat demikian. Disebabkan ciri-ciri ini, beg plastik yang dibuang merata-rata, tidak akan mereput walaupun beberapa tahun, dan mencemarkan alam sekitar ini. Malah, banyak haiwan juga turut terjejas ekoran pembuangan beg plastik di merata-rata tempat, kerana menganggap plastik sebagai makanan dan menelan plastik tersebut.

 Oleh itu, pihak kerajaan telah mengambil langkah yang cukup arif, dengan membuat kempen Hari Tanpa Beg Plastik, setiap hari Sabtu. Setiap beg akan dikenakan bayaran sebanyak RM 0.20, jika perlu atas permintaan. Kempen ini telah berjaya dilaksanakan dan respons positif dapat dilihat di negara kita.

Baru-baru ini,  negeri Selangor telah diisytiharkan sebagai Zon Bebas Beg Plastik, di mana beg plastik dikenakan caj rm0.20, tidak kira hari. Keputusan ini turut mendapat sokongan daripada pelbagai pihak.


Oleh itu, kita sebagai pengguna yang berhemah, amatlah digalakkan untuk membawa beg plastik, atau lebih elok, beg kitar semula dari rumah ketika membeli belah, di samping menjimatkan duit untuk membeli beg plastik, sekaligus mengurangkan penggunaan beg plastik.

PENCEMARAN UDARA (BAHAGIAN 2)

LANGKAH-LANGKAH MENGATASI PENCEMARAN UDARA

Salam 1 Malaysia sekalian!

Bagi coretan kali ini, kita sambung lagi berceloteh mengenai pencemaran udara lagi. Kali ini, kita berbincang sedikit mengenai langkah-langkah yang bole kita ambil untuk mengatasi masalah pencemaran udara yang makin berleluasa kini.

Bagi memudahkan penjelasan saya, saya akan terangkan dari perspektif setiap pihak, dan bagaimana kita boleh memainkan peranan dalam menangani masalah pencemaran udara ini. 

1. Individu

Bagi setiap individu, kita bole mengambil beberapa langkah mudah dalam usaha mengatasi masalah pencemaran udara ini, 

a. Menggunakan Pengangkutan awam, berkongsi kereta, atau BERBASIKAL!!




Hahaha, jangan terkejut apabila saya berkata sedemikian. Ramai di antara kita sering memandu kereta seorang diri, tidak kira untuk pergi ke tempat kerja, untuk makan, atau bersiar-siar. Bagi yang pergi ke tempat kerja, sangatlah disarankan agar berkongsi kereta ke tempat kerja bersama rakan-rakan sekalian, kerana dengan berbuat demikian, kita bukan sahaja mengurangkan bilangan kenderaan, malah kita dapat menjimatkan duit minyak kereta sekaligus. 

Pengangkutan awam juga amat disyorkan kerana bilangan kereta akan berkurangan, dan asap kenderaan yang menjadi onar dan antara faktor utama dapat dikurangkan. 

Manakala, bagi membeli makanan, atau bersiar-siar di waktu senja, kita dapat berbasikal sahaja, kerana dengan berbasikal, kita dapat bersenam bagi kesihatan, sekaligus mengurangkan pencemaran udara. Jadi, AYUHH, marilah kita menyahut saranan ini, dan menggunakan pengangkutan awam, dan berbasikal ke tempat-tempat yang dekat!

b. Kitar semula.

Apa kaitan kitar semula dengan pencemaran udara? Memang ada! Cuba kita bayangkan, ramai di antara kita yang membakar kertas-kertas yang terpakai. Ada juga segelintir daripada kita yang membakar rumput-rumput yang dipotong. Semua ini memberi impak yang negatif kepada kualiti udara. Semua bahan yang boleh dikitar semula wajar di kumpul dan di hantar ke pusat kitar semula. 


Rumput pula, boleh dijadikan baja organik bersama sisa makanan yang lain, dan diguna sebagai nutrien bagi tanaman di rumah.


2. Pengusaha Kilang dan Pihak Perindustrian

Bagi pihak perindustrian dan pembangunan, golongan ini memainkan peranan yang sangat penting dalam usaha mengatasi masalah ini. Hal ini disebabkan antara punca pencemaran udara ialah, pembakaran terbuka. Mereka tidak seharusnya mengejar keuntungan semata-mata, tanpa memikirkan kesan buruk daripada aktiviti ini. Ada di antara pengusaha, membakar sisa-sisa ekonomi di tempat terbuka, menyebabkan pelepasan asap ke udara, dan mencemarkan udara. Hal ini demikian kerana, terdapat  beberapa pihak yang tamak haloba dan tidak mahu membayar kos penghapusan sisa-sisa ini.

Jadi, pihak pengusaha dan perindustrian boleh menjadi lebih bertanggungjawab, dan menguruskan sisa kilang dan perindustrian dengan lebih sistematik dan efisien.

Bukan itu sahaja, cerombong asap yang mengeluarkan asap dari kilang-kilang juga seharusnya dipasang penapis, agar kandungan toksik asap bole ditapis.

3. Pihak kerajaan/Pihak berkuasa

Bagi pihak kerajaan atau pihak berkuasa, mereka boleh menguatkuasakan akta dan peraturan yang sedia ada, terhadap penghapusan sisa sisa perindustrian, damn mengenakan hukuman yang berat, setimpal dengan tindakan tidak bertanggungjawab seperti pembakaran terbuka, dan pelupusan sisa secara tidak teratur.

4. Media massa



Pihak media boleh mendidik para pengguna, dan masyarakat dengan membuat iklan-iklan kesedaran, tentang bagaimana seseorang atau sesebuah konuniti boleh bekerjasama dalam mengatasi pencemaran udara ini. Edaran notis atau buletin informasi juga boleh dilakukan dengan menyelitkan helaian tersebut dalam surat khabar dan majalah. Usaha ini pasti dapat membantu dalam mengatasi masalah yang menjadi seperti duri dalam daging ini. 



Secara tuntasnya, semua pihak harus berganding bahu dalam usaha mengurangkan pencemaran udara, sekaligus menjamin kualiti udara yang sihat untuk kita semua. 

Sekian.

Sumber: Gambar dari Google Images


PENCEMARAN NUKLEAR (RADIOAKTIF) Salam sejahtera semua... Kali ini, apakah topik yang bakal saya berkongsi dengan anda semua?  Jika ...