KITAR SEMULA (BAHAGIAN 2)
Salam sekalian! Saya pasti ramai pengunjung setia blog ini, tertunggu-tunggu coretan mengenai isu yang sering kita bincangkan, mengenai alam sekitar. Bukan itu sahaja, saya pernah berjanji untuk berkongsi bersama anda semua mengenai cara-cara lain yang boleh kita praktikkan untuk mengitar semula barangan, selain mengasingkan ke dalam tong kitar semula, dan memproses semula bahan tersebut.
Seperti yang kita semua tahu, kitar semula ialah proses menguna semula, atau memproses bahan, dijadikan bahan yang boleh diguna semula. Jadi, kita boleh kitar semula banyak bahan walaupun tanpa memproses semula bahan tersebut.
Bagaimana?
1. Membuat kraf tangan
Saya pasti ramai di antara kita yang gemar membuat kraf tangan sebagai hobi di masa lapang. Namun begitu, ramai di antara kita juga perlu membelanjakan sejumlah wang yang banyak dan membeli bahan untuk membuat kraf tangan tersebut. Tahukah anda semua, anda tidak perlu membeli bahan yang mahal, tetapi guna semula bahan yang terdapat di rumah, yang tidak lagi digunakan.
Baru-baru ini, saya telah mengikuti aktiviti lawatan sambil belajar ke Sekolah Khas Klang, sebahagian daripada aktiviti fakulti (pelajar universiti). Salah satu aktiviti yang mereka ajar kepada pelajar khas di sana ialah, untuk membuat kraf tangan daripada majalah lama, dan kain lama yang tidak dipakai. Mereka membuat bakul, bekas alat tulis, alat mainan dan banyak lagi. Kos untuk membuat barangan ini tidaklah banyak, kerana mereka mengguna semula barangan seperti majalah yang di dermakan, dan baju, kain yang tidak lagi dipakai. Saya sangat kagum melihat kekemasan kerja mereka semua.
Saya tidak melepaskan peluang untuk membeli bekas alat tulis, yang sangat cantik, dikemaskan dengan sapuan syelek dan cat varnish. |
Bukan itu sahaja, malah, hari ini, sebuah organisasi yang mengutip derma untuk kanak-kanak spastik turut menjual kad ucapan yang dibuat daripada kertas yang diproses sendiri dan diwarnakan.
Jadi? Mengapakah kita tidak boleh membuat perkara yang sama. Bukankah lagi menjimatkan jika kita mengguna pakai barangan di rumah, dan dijadikan hiasan daripada dibiarkan berlonggok dan menjadikan rumah kita kurang bersih.
Gambar-gambar di atas adalah contoh kraf tangan atau hiasan yang boleh kita hasilkan daripada barangan seperti botol minuman, klip, batang ais krim, kertas dan banyak lagi. Jadi, apa yang kita tunggu lagi? Jom luangkan masa lapang dengan membuat hiasan ini dan hiasi rumah kita.
2. Baja Organik/ Kompos
Baja organik merupakan alternatif lain bagi kita mengunakan sisa seperti sisa makanan, bagi kegunaan kebun kita.
Ramai di antara kita yang sudah pasti menanam satu atau dua pokok di rumah, tidak kiralah pokok bunga, sayur atau pokok buah-buahan. Kita perlu membaja pokok ini agar tumbuh subur. Namun, baja yang mengandungi bahan kimia, kurang digalakkan. Jadi, kita boleh membuat baja sendiri di rumah, yang lebih baik, dan lebih berkualiti untuk tanaman kesayangan kita.
Kita boleh menggunakan sisa makanan, di campurkan dengan tanah, dan dibiarkan untuk mereput, dan menjadi baja. Malah, bukan sahaja sisa makanan, tetapi rumput-rumput yang dipotong serta daun kering boleh turut digunakan untuk membuat baja organik ini.
Saya akan berkongsi dengan anda semua cara mudah untuk membuat baja organik ini, agar anda semua boleh mencuba di rumah.
Cara membuat baja kompos.
Anda perlukan:
1. Sebuah bekas
2.Tanah
3. Sisa makanan, rumput, daun kering
Prosesnya cukup mudah. Dalam bekas yang ada, saiz terpulang kepada keperluan, kita letakkan tanah, dan diikuti sisa makanan, rumput atau daun-daun kering. Seterusnya, kita lapiskan dan selang selikan lapisan tanah dan sisa-sisa. Siram air dan bolak balikkan kandungan dalam bekas itu selang beberapa hari (selalunya dalam 2 hari sekali). Setelah sebulan atau mungkin lebih, kandungan dalam bekas itu ialah baja kompos!! Anda boleh menggunakan baja tersebut.
Sungguh mudah kan? Saya berharap saya telah memberi tips yang baik untuk di cuba di rumah anda semua.
Terdapat banyak lagi tips dan cara untuk kita mengitar semula, atau mengguna semula bahan yang lazimnya kita longgokkan atau buang begitu sahaja. Kesimpulannya, saya berharap kita semua akan berusaha membuat perkara sebegini, dan mengurangkan bilangan sisa atau sampah, sebanyak yang kita boleh, dan memelihara persekitaran kita.
Sekian.
Sumber: Beberapa gambar daripada Google Images untuk tujuan pendidikan dan pembelajaran
Bagi mereka yang ingin membantu kanak-kanak di Sekolah Khas Klang, atau ingin kraf tangan seperti itu untuk majlis-majlis, boleh hubungi
ReplyDeleteSEKOLAH KHAS KLANG
LOT 43416
PERSIARAN TENGKU AMPUAN RAHIMAH
41209 KLANG
03-33714176
(bukan atas paksaan atau permintaan sekolah, tetapi hanya atas niat sukarela)
menarik! kanak-kanak khas juga mampu menghasilkan produk yang sangat menarik.. thanks sbb bagi contact number, nk beli jugak :)
ReplyDelete