Wednesday 28 June 2017

PENCEMARAN AIR




(LANGKAH-LANGKAH MENGATASI PENCEMARAN AIR)


Salam sejahtera semua! Kita telahpun berbincang mengenai pencemaran air sebelum ini. Jadi, hari ini, mari kita fikirkan langkah-langkah yang boleh kita ambil untuk mengatasi pencemaran air.

Air merupakan sumber semula jadi yang sangat penting kepada semua jenis hidupan di muka bumi ini. Namun begitu, sumber yang ibarat permata itu (sangat berharga!) makin tercemar dek tindakan pelbagai pihak yang tidak bertanggungjawab. Tetapi, tiada gunalah jika kita saling menunding jari dan menyalahkan sesama sendiri. Oleh itu, saya ingin menyeru anda semua untuk membaca coretan ini, dan cuba mengambil pengajaran dalam usaha memelihara sumber semula jadi ini.


1. INDIVIDU





Pertama sekali, setiap seorang daripada kita, harus mempunyai kesedaran untuk menjaga kebersihan air. Antara perkara yang cukup mudah, yang boleh kita lakukan ialah, tidak membuang sampah ke dalam sungai, laut atau tasik jika kita berkelah di kawasan sekitarnya, ataupun melalui kawasan yang mempunyai air. bukan itu sahaja, jika kita ternampak sampah sarap di dalam air, beritahu diri sendiri untuk merajinkan diri untuk mengutip sampah tersebut. Jika bukan kita, siapakah yang akan memulakan langkah petama untuk membuat perubahan?

2. KOMUNITI





Sebagai masyarakat pula, kita boleh bekerjasama untuk mengadakan aktiviti gotong-royong dan membersihkan kawasan pantai, sungai, atau laut. Hal ini dapat meringankan beban pekerja yang membersihkan kawasan-kawasan tersebut. Bukan tu sahaja, jika kita ternampak kegiatan yang meragukan (sebagai contoh: kegiatan menghumban sampah atau sisa kilang), kita boleh melaporkan kegiatan itu kepada pihak berkuasa.

3.  PIHAK KERAJAAN





Pihak kerajaan perlu mengambil tindakan yang tegas dalam usaha mengatasi masalah ini. Akta-akta yang sedia ada boleh dikaji semula, dan rang undang-undang yang lebih ketat dan tegas terhadap pihak yang membuat pencemaran/ pelupusan sampah secara haram. Hukuman yang berat dan setimpal juga harus dijatuhkan. Selain itu, pihak kerajaan boleh membuka sebuah talian bagi memudahkan orang awam membuat laporan terhadap sebarang kegiatan pelupusan sampah atau pencemaran alam sekitar.

Bukan itu sahaja, baru-baru ini, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar telah membuat cadangan untuk memperkenalkan subjek pengajian alam sekitar di sekolah. Menurut menterinya, Datuk Seri DR Wan Junaidi Tuanku Jaafar, kementerian itu akan membuat perbincangan dengan Kementerian Pelajaran Malaysia mengenai tindakan selanjutnya. Cadangan ini telah diwar-warkan kepada umum melalui media massa. 

4. MEDIA MASSA




Pihak media boleh membuat iklan dan rancangan yang berkaitan alam sekitar, dan pencemaran yang kian berleluasa, bagi memberi kesedaran kepada orang awam mengenai isu-isu semasa. 



Saya berharap saya telah menerangkan serba sedikit mengenai peranan pelbagai pihak dalam usaha mengatasi masalah pencemaran air. Namun begitu, terdapat pelbagai pihak lain yang juga bertanggungjawab dalam perkara ini tidak kiralah secara langsung ataupun tidak langsung. Bukan sahaja pencemaran air, tetapi, pencemaran alam sekitar secara umumnya. 

Sekian.

No comments:

Post a Comment

PENCEMARAN NUKLEAR (RADIOAKTIF) Salam sejahtera semua... Kali ini, apakah topik yang bakal saya berkongsi dengan anda semua?  Jika ...