Friday 2 June 2017

PENCEMARAN ALAM SEKITAR


Saya telah berkongsi dengan anda semua, pelbagai isu yang berkaitan dengan pencemaran alam sekitar, punca-punca, dan kesan kepada kita semua. Tidak dilupakan, saya juga turut berkongsi mengenai keindahan alam sekitar. Namun begitu, saya tidak ingin mengaburi mata anda semua dengan keindahan semata-mata, malah, beberapa isu pencemaran alam sekitar yang menyedihkan saya. 

Tatkala melayari laman sesawang, saya terjumpa pelbagai artikel, keratan akhbar, dan gambar yang menunjukkan betapa tercemarnya bumi kita.

Sungai yang dipenuhi sampah sarap

Sungai yang sepatutnya menjadi habitat pelbagai spesies, dipenuhi sampah sarap


Sungai Klang yang tercemar


Habitat ikan, yang juga sumber makanan kita, kini tecemar, dan menyebabkan ikan semua mati.

Gambar-gambar yang saya kongsikan bersama anda semua ini hanyalah sedikit daripada situasi yang berlaku di realiti. Adakah kita semua akan berpeluk tubuh dan mendiamkan diri melihat semua ini? Apakah yang akan kita buat jika seluruh pelosok di muka bumi ini tercemar? Bukankah lebih baik jika kita mengambil langkah untuk mengatasi masalah ini, daripada menyesal di kemudian hari?

Akhir kata, saya ingin berkongsi satu lagi gambar yang cukup menyentuh hati. Gambar ini bukanlah kepunyaan saya, jadi saya ingin meminta izin dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada laman, sumber gambar ini, tamb (Youtube).


Fikirkanlah, adakah kita akan mengalami masalah yang sama seperti yang ditunjukkan di gambar di atas, atau mengambil langkah yang sepatutnya sebelum nasi menjadi bubur.

Sekian.




Sumber: Gambar daripada Google Images

KUIZ KITAR SEMULA


Salam sekalian, kali ini saya ingin menguji pembaca blog ini, terutamanya adik-adik kita yang masih bersekolah dengan beberapa soalan berkaitan kitar semula. Soalan yang saya akan berikan cukup mudah, dan saya berharap, anda semua akan mendapat 100% betul. Jawapan akan saya berikan di akhir kesemua soalan nanti. Jangan tipu ye.....

Nota: Galakkan anak-anak/ adik-beradik untuk mencuba soalan ini, dan memberi pendedahan mengenai kitar semula, dari usia yang muda lagi.




1. Apakah maksud kitar semula?



A. Mengolah semula bahan untuk dijadikan bahan yang baru.
B. Menjual atau membeli
C. Menghasilkan bahan baru
D. Tidak tahu

2. Barangan berikut harus dibuang ke dalam tong kitar semula berwarna coklat, KECUALI

A. bekas jem
B. botol kicap
C. botol vitamin
D. lampu kalimantang (lampu rumah)

3. Kertas harus dibuang ke dalam tong yang berwarna:

A. Coklat
B. Oren
C. Biru
D. Tidak tahu

4. Tong jingga di khaskan untuk membuang barangan yang di buat daripada:


A. Tin aluminium, plastik dan tin keluli
B. Plastik dan kertas
C. Tin aluminium, kertas dan plastik
D. Sisa makanan

5. Kita dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar dengan mengitar semula.

A. Betul
B. Salah
C. Tidak pasti

6. Kita boleh membuang sisa makanan ke dalam tong kitar semula.

Sisa makanan

A. Betul
B. Salah
C. Tidak pasti.


Itu sahaja soalan pada kali ini! Saya pasti anda semua ingin menyemak jawapan, kan?





JAWAPAN:

1. A
2. D
3. C
4. A
5. A
6. B

Saya pasti semua yang telah cuba menjawab soalan ini mendapat semua betul. Mungkin selepas ini saya harus memberi soalan yang agak susah untuk menguji anda semua. Nantikan banyak lagi soalan dan info yang menarik!

Sekian.

Thursday 1 June 2017

TONG KITAR SEMULA DI KLIA 1





Hai semua! Saya berpeluang untuk pergi ke KLIA 1 semalam, untuk menghantar abang saya yang membuat perjalanan ke luar negara. Semenjak mula menulis blog, saya menjadi lebih peka terhadap isu-isu alam sekitar pula, Hahaha!


Lebih-lebih lagi, setelah menulis mengenai amalan kitar semula. Sambil berjalan di KLIA, melihat pelbagai kedai di sana, dan orang ramai yang menunggu pesawat dan banyak lagi, saya terlihat tong kitar semula yang saya ceritakan sebelum ini.

Tong kitar semula

TADAAAAAA!!!!

Itu dia, tong kitar semula. Lain daripada gambar yang saya berkongsi sebelum ini, tong ini nampak lagi cantik dan ceria! Namun, fungsinya tetap sama. Malah, tong berlabel ini, turut memudahkan para pengguna untuk mengasingkan sisa atau sampah yang ingin dibuang. 

Saya teruja melihat banyak tong kitar semula yang di sediakan di setiap aras lapangan terbang KLIA. 

Jadi, saya pun mengambil keputusan untuk mengambil gambar agar dapat dikongsi bersama rakan-rakan yang lain, tidak kira yang pernah ke KLIA 1 ataupun belum lagi. 




Sunday 28 May 2017

Kitar Semula

JOM KITAR SEMULA!


Salam sejahtera! Harap semua sihat-sihat belaka. Pada hujung minggu macam ini, kebiasannya, ibu bapa kita akan pergi ke pasar pagi, untuk membeli keperluan dapur dan barang-barang harian, seperti sayur-sayuran, buah buahan, ayam, daging, dan macam macam lagi. Tidak dilupakan, adik-adik yang gemar ke pasar, untuk membeli kuih-muih dan sarapan pagi. 





Ketika inilah, timbul idea untuk saya menulis mengenai satu lagi isu yang cukup 'terkenal' dalam kalangan kita, iaitu kitar semula. 

Topik ini cukup luas untuk kita bincangkan, jadi saya akan berkongsi secara ringkas mengenai amalan kitar semula.

APAKAH ITU KITAR SEMULA?



Kitar semula ialah proses mengolah semula bahan buangan untuk meghasilkan bahan yang baru.

Terdapat banyak bahan yang boleh kita kitar semula. Contohnya, kaca, kertas, logam, elektronik dan banyak lagi.

Apakah manfaat daripada amalan kitar semula?

1. Mengurangkan jumlah sampah yang perlu dilupuskan.
2. Menjimatkan bahan mentah yang digunakan untuk membuat bahan baru.
3. Mengurangkan pencemaran alam.
4. Menjimatkan kos membuat bahan baru, sekaligus menjimatkan kos membeli para pengguna.
5. Mengurangkan tenaga yang digunakan untuk membuat bahan baru.

dan banyak lagi.

Lazimnya, apabila kita bercakap mengenai kitar semula, seringkali kita akan memikirkan mengenai tong kitar semula yang terdapat di kawasan perumahan kita.





 Memang benar, kebanyakan barang yang boleh dikitar semula, lazimnya boleh dibuang di sini, dan seterusnya, dikumpulkan dan dibawa ke pusat kitar semula. Tetapi, terdapat banyak lagi kaedah lain untuk kita kitar semula, yang akan saya berkongsi dengan anda semua dalam coretan yang lain.



KENALI TONG KITAR SEMULA ANDA.


Kebiasannya, terdapat 3 tong kitar semula, iaitu tong yang berwarna biru, coklat dan jingga(oren).



1. Tong biru: Kertas sahaja.
2. Tong coklat: Kaca sahaja.
3. Tong Jingga (Oren): Tin aluminium, tin keluli, dan plastik.

Jadi, kita sebagai pengguna berhemah seharusnya membuang barang-barang ke dalam tong kitar semula ini, mengikut kod warna tong, dan bahan yang di benarkan sahaja. Hal ini akan memudahkan proses pengasingan bahan, dan pemprosesan bahan di pusat kitar semula, di samping mengurangkan risiko seperti kecederaan, jika kita membuang kaca dalam tong yang dikhaskan untuk kertas sahaja.

Saya berharap, info ini dapat dikongsi bersama rakan-rakan yang lain, agar semua dapat memanfaatkan ilmu ini. Sebarang komen atau pendapat amatlah digalakkan. 

Sekian.


Sumber:  Gambar dari Google Images

PENCEMARAN NUKLEAR (RADIOAKTIF) Salam sejahtera semua... Kali ini, apakah topik yang bakal saya berkongsi dengan anda semua?  Jika ...